Posted by: langitbiru3 | September 8, 2013

DOMINASI KEKUASAAN ULAMA DALAM PAS: “PAS FOR ULAMA”

 

 
 
Pandangan TGNA agar Presiden dan Timbalan Presiden semestinya dari kalangan Ulama segera mendapat maklumbalas dan liputan pelbagai pihak. Ketua Dewan Ulama, Dato’ Harun Taib dengan segera menyetujui cadangan tersebut, bahkan sebelumnya, Dewan Ulama PAS Pusat, pernah mencadangkan agar jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden wajib dari kalangan Ulama. Pandangan ini adalah untuk meneruskan tradisi Kepimpinan Ulama dalam PAS. 
 
Menyorot kembali sejarah, Kepimpinan Ulama dan Majlis Syura Ulama PAS pusat bermula pada Muktamar PAS tahun 1982. Golongan Ulama secara terbuka menentang Kepimpinan Dato’ Asri, Yang Di Pertua Agung PAS Pusat, dengan slogan “Murakbar Asri”. Dewan Pemuda PAS Pusat telah mengemukakan usul agar Ucapan Dasar Yang Di Pertua Agung PAS ditolak kerana YDP Dato’ Asri memuji Kerajaan BN (Mahathir) menubuhkan Bank Islam dan Universiti Islam Antarabangsa. Usul tersebut diterima menjadi sejarah Ucapan Dasar YDP pertama ditolak oleh Muktamar. Asri berjaya “dijatuhkan” dan serentak dengan itu, Dewan Pemuda mengusul penubuhan Majlis Syura Ulama PAS yang sekaligus berfungsi sebagai Badan Kepimpinan Tertinggi selepas Muktamar. Mursyidul-Am PAS Pusat menjadi Pemimpin Tertinggi Parti. Bagi melengkapkan dominasi kekuasaan Ulama, Presiden PAS juga berjaya dipilih dari kalangan ulama iaitu Yusuf Rawa. 
 
Kepimpinan Ulama dalam PAS sudah terjamin dengan kukuh dan kuat dalam Perlembagaan PAS, iaitu Majlis Syura Ulama PAS Pusat, sebagai Badan Kepimpinan Tertinggi PAS, disamping Mursyidul-Am PAS sebagai Pemimpin Tertinggi Pas Pusat. Ini bermakna, kekuasaan Ulama dalam kepimpinan PAS tidak boleh dan tidak akan diganggu gugat oleh sesiapa kecuali Muktamar.
 
Apakah monopoli atau dominasi kekuasaan kepimpinan PAS dari kalangan Ulama selama 31 tahun ini wajar diteruskan? Atau perlu pembaharuan sesuai dengan kehendak semasa masyarakat Malaysia?
 
Majlis Syura Ulama PAS, sebagai Badan Kepimpinan Tertinggi PAS, disamping Mursyidul-Am PAS sebagai Pemimpin Tertinggi PAS amat wajar dipertahankan dan diteruskan. 
 
Bagi Langitbiru, terjemahan dan tafsiran Kepimpinan Ulama PAS sudah cukup memadai dengan kekuasaan Majlis Syura Ulama dan Mursyidul-Am. Dalam analogi    Sistem Kenegaraan , Mursyidul-Am itu bertindak sebagai Khalifah. Manakala Presiden pula sebagai Panglima Perang yang memegang amanah Khalifah dan Negara bertempur dan berjihad di medan perang. 
 
Presiden dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, secara analoginya sebagai Panglima Perang dan Ketua Turus Bala Tenteranya. Panglima Perang dan Ketua Turusnya wajib dipilih dari kalangan mereka yang benar-benar ahli dan layak dalam bidang peperangan. Dalam konteks politik Malaysia, PAS berjuang dan berperang di “Padang Demokrasi Sekular”. 2 kriteria utama bagi pejuang PAS mengharungi “Padang Demokrasi Sekular” iaitu keimanan/ketaqwaan yang tinggi sebagai benteng pertahanan dan ilmu pengetahuan sebagai senjata ampuh memerangi musuh. Kedua-dua kriteria itu wajib ada dalam barisan bala tentera PAS. 
 
Rasulullah saw tidak begitu mengetahui struktur mukabumi Lembah Badar sehingga dicadangkan oleh sahabat Baginda, Khubaid memilih satu kawasan berhampiran sumber air sebagai markas perang. PAS perlu mengambil kisah Perang Badar. Inilah contoh terbaik (kombinasi lengkap-melengkapi satu sama lain) ketaqwaan (Khalifah) dan ilmu pengetahuan (ahli) menghadapi musuh di medan perang. 
 
PAS amat memerlukan kombinasi lengkap-melengkapi satu sama lain melalui kombinasi Ulama-Profesional. Selayaknya kombinasi suami-isteri, isteri sebagai pakaian suami, suami sebagai pakaian isteri. Suami (Ulama) sebagai Ketua Rumahtangga, Isteri sebagai Pengurus Rumahtangga, masing-masing tahu tugas dan tanggungjawab yang mempunyai matlamat yang sama, kesejahteraan rumahtangga dunia dan akhirat.  
 
 
PROFESIONAL SEBAGAI PELENGKAP ATAU PERKAKAS?
 
Kita sudah sediamaklum, Badan Kepimpinan Tertinggi PAS adalah Majlis Syura Ulama. Mursyidul-Am sebagai Pemimpin Tertinggi Parti. Majlis Syura Ulama semuanya adalah Ulama, tiada seorangpun dari kalangan profesional. Di samping Majlis Syura Ulama, PAS juga ada Dewan Ulama PAS Pusat. Walaupun Dewan Ulama adalah Dewan Harian, tetapi realitinya dilihat sebagai Dewan yang sangat berpengaruh dan berkuasa. Ini kerana sebahagian besar Ahli Dewan Ulama PAS juga menganggotai Majlis Syura Ulama. Bermakna, Dewan Ulama PAS secara realitinya adalah Badan Kepimpinan Kedua Tertinggi PAS. Andaikata diteruskan secara tradisi, Presiden dan Timbalan Presiden wajib dari kalangan Ulama, maka Ulama mempunyai kuasa sangat DOMINAN.
 
Logiknya, jika Ulama terlalu sangat dominan kekuasaannya, kehadiran bukan ulama atau profesional sebenarnya tidak lagi berfungsi sebagai pelengkap kepimpinan parti, dengan kata lain profesional tidak begitu diperlukan dalam organisasi Kepimpinan PAS. Profesional hanya layak melaksanakan segala arahan parti (Ulama). Istilah kombinasi  atau keseimbangan Ulama-Profesional tidak akan menjadi kenyataan jika sebelah pihak terlalu dominan kuasanya. 
 
Monopoli atau dominasi kuasa Kepimpinan Ulama ini seolah-olah wujud tembok pemisah antara Ulama dan Profesional. Seolah-olah wujud sistem kasta dalam PAS. Seolah-olah keimanan dan ketaqwaan itu diukur melalui sijil-sijil sarjana, master atau PhD Pengajian Islam, atau Lepasan Tinggi Pondok. Seolah-olah profesional itu lebih rendah atau tidak setaraf keimanan dan ketaqwaan mereka berbanding mereka yang ada sijil agama. Dengan itu, profesional tidak boleh diyakini dan dipercayai untuk menerajui kepimpinan. Jika begini persepsi para ulama kepada profesional, bermakna para ulama memandang profesional sebagai perkakas, bukan pelengkap! 
 

Jika demikian keadaannya, slogan “PAS for All” tidak lagi relevan sebaliknya lebih sesuai digantikan dengan “PAS for Ulama”
 
 
Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: