Posted by: langitbiru3 | August 31, 2013

MENGADUN “PAS FOR ALL” (Bhg 1).

Bermula dengan Hizbul Muslimin, bermukim sementara di Biro UMNO, dan akhirnya di Rumah UMNO Butterworth PAS dilahirkan pada November 1951. Awal penubuhannya terdiri daripada aktivis Melayu-Islam yang majoritinya golongan berpendidikan Agama (Ulama’), yang mahukan kemerdekaan Tanah Melayu mengikut acuan Islam. Maka dibantahnya oleh PAS, Prinsip Jus Soli sebagai syarat kemerdekaan yang separuh masak. Boleh jadi layaklah kita gelarkan pendukung awal PAS ini sebagai “Ahli Badar PAS” Tanah Melayu. Semasa Perang Badar, Nabi saw berdoa kepada Allah swt agar memenangkan Islam (Ahli Badar) kerana jika kekalahan bererti tiada lagi orang akan menyembah Allah swt di mukabumiNya. Maka jika tidak kerana pengorbanan besar “Ahli Badar PAS” ini, nescaya tiada kumpulan manusia yang memperjuangkan Islam sebagai satu cara hidup dan Negara Islam di Malaysia. Ini adalah Tahap Kelahiran Dan Kemunculan PAS.
 
 
Masa begitu pantas berlalu.  PAS berkembang sedikit demi sedikit dengan landasan yang betul. PAS semakin berkembang dan mencapai kejayaan demi kejayaan dalam Pilihanraya Umum. PRU1959, PAS menang besar di Kelantan dan Terengganu, membentuk Kerajaan Negeri. Bolehlah dikatakan ini adalah Tahap Kebangkitan Awal PAS. Oktober 1961, Kerajaan Terengganu PAS dibawah Kepimpinan Menteri Besar, Mohd Daud Abdul Samad dijatuhkan oleh politik kotor UMNO, Tragedi PAS Terengganu. 
 
Melihat arus kebangkitan PAS ini, UMNO mula menggunakan taktik yang keras terhadap PAS. Selepas Tragedi Terengganu, PAS mulai menerima tekanan politik yang sangat hebat.  Penyalahgunaan Kuasa ISA berlaku dengan berleluasa, sekatan politik termasuk penahanan Dr Burhanudin Al-Helmy dalam Peristiwa Natrah, dan beberapa siri keganasan termasuk pembunuhan politik. 1963 berlaku Konfrontasi Indonesia dimana PAS dijadikan Kambing Hitam kerana Perjuangan PAS memartabatkan Kebangsaan Melayu Raya berasaskan Islam, menolak Pembentukan Malaysia. 
 
1964, UMNO “memulakan” beberapa siri isu perkauman di Pulau Pinang, Perak dan Singapura. Kemuncaknya, Tragedi Mei 1969. Hakikat sebenarnya Parti Perikatan yang tak pernah kalah dalam pilihanraya umum, kali ini terpukul hebat kerana buat pertama kalinya Parti Perikatan gagal mencapai Peratusan Undi Majoriti bagi Kawasan Parlimen. Bekas anak-anak didik Jahiliah British, sangat sedar kuasa hampir hampir terlucut dari genggaman mereka, dengan bijak memainkan sentimen Melayu itu Islam, Islam itu Melayu, kalah Melayu kalahlah Islam maka Parti Islam mesti bergabung dengan Parti Melayu, kononnya demi kelangsungan kuasa MelayuIslam. Maka tertubuhlah Barisan Nasional menggantikan Parti Perikatan. Lambang Kapal Layar Parti perikatan bertukar kepada Lambang Dacing Barisan Nasional. Menariknya, nama Barisan Nasional dan lambang dacing itu datangnya dari cadangan PAS. 1973, Mohd Asri membawa masuk  PAS menjadi anggota baru dalam Barisan Nasional. 1974, PAS bertanding atas tiket Barisan Nasional dan menang besar dalam PRU. Mungkin ini Tahap Kemuncak PAS, kerana PAS menjadi anggota parti yang memerintah Negara.
 
Kemasukan PAS dalam Barisan Nasional pada tahun 1973 menyebabkan PAS mula bergolak. 1974-1978, berada dalam kain selimut Barisan Nasional ini, PAS mengalami percambahan ahli dan percambahan pemikiran. Pada masa yang sama kemenangan Revolusi Islam Iran begitu mempengaruhi cabang pemikiran Politik Islam dalam PAS yang agak radikal. Bagaimanapun, keserasian dan kesepaduan ahli PAS mula tergugat kerana tusukan jarum jarum halus oleh bekas anak anak didik Jahiliah British kepada beberapa pemimpin PAS yang bermaksud mengadudomba sesama pemimpin PAS. PAS semakin berpecah. 1978, PAS ditendang macam kucing kurap dari Barisan Nasional. Di Kelantan, rancangan jahat UMNO berjaya mengguling Kerajaan PAS Kelantan. DUN Kelantan, PAS hanya menang 2 kerusi iaitu di hilirnya, Kemumin dan di hulunya Manek Urai semacam 2 batu nesan. Inilah Zaman Kejatuhan PAS
 
1978-1982 adalah masa yang sangat mencabar kelangsungan PAS. YDP Agung PAS, Mohd Asri, yang juga antara Pengasas PAS Kelantan yang sangat besar jasanya kepada PAS Kelantan khususnya, dan PAS umumnya menghadapi ujian yang sangat getir terutama dari golongan Ulama. Kemenangan Revolusi Iran memberi semangat baru kepada Golongan Ulama’. Mohd Asri, bekas Aktivis Angkatan Pemuda Insaf (API) menjadi buruan pihak British terpaksa berpindah melarikan diri di Perak dan Kepala Batas Pulau Pinang. Semasa di Perak dan Pulau Pinang, Asri banyak mendalami ilmu agama dari Pondok Maahad. Ceramahnya yang banyak unsur Nasionalis diselang seli ayat-ayat Al-Quran dan Hadis menjadikan beliau seorang pemidato yang hebat dan berpengaruh. Sekembalinya ke Kelantan beliau berjaya membawa ulama-ulama besar Kelantan terutamanya Tuan Guru Hj Abdullah Tahir dari Pondok Bunut Payong berjuang dalam PAS. Bagaimanapun, beliau yang terkenal dengan pemikirian kiri pada zaman awalnya dilihat berubah menjadi sederhana dan terbuka, dan seterusnya membawa PAS masuk Barisan Nasional. Golongan Ulama muda mula menolak kepimpinan Asri. Kemasukan pemimpin besar ABIM, seperti Ustaz Fadhil Noor, Ustaz Hj Hadi Awang dan Ustaz Nakhaei dengan cepat mengambil alih kepimpinan PAS, menolak Kepimpinan Asri. Anwar Ibrahim dari ABIM bagaimanapun tidak menyertai rakan-rakannya masuk PAS. Akhirnya Asri dijatuhkan, dan bermulalah era Kepimpinan Ulama dalam PAS. Boleh dikatakan inilah “Ahli Uhud PAS”, iaitu ahli-ahli PAS selepas kekalahan dan kejatuhan PAS pada tahun 1978. “Ahli Uhud” inilah bertanggungjawab membina kembali PAS.
 
1982-1990. Tempoh ini adalah tempoh Kebangkitan Semula PAS. Tempoh menyerap dan merealisasikan “ideologi baru” PAS melalui “Konsep Kepimpinan Ulama'”.  Bagaimanapun, kemasukan Anwar Ibrahim dari ABIM ke dalam UMNO pada tahun 1982 dilihat “berjaya mengekang” kebangkitan PAS lebih cepat. “Ahli Uhud PAS” menghadapi beberapa siri tekanan yang hebat dari Kerajaan Persekutuan. Sekali lagi penyalahgunaan kuasa ISA berlaku secara berleluasa dan berkala. Tragedi Memali berlaku pada November 1985, diiukuti pula Operasi Lalang 1987. Konsep Kepimpinan Ulama berjaya membuahkan hasil pertamanya pada Pilihanraya Umum 1990 apabila berjaya merampas kembali Kelantan bila bergabung dengan Parti Semangat 46, parti serpihan UMNO yang dipimpin oleh Putera Raja Kelantan, Tg Razaliegh Hamzah. 
 
1998-2008. Kemuncak Kepimpinan Ulama adalah pada tahun 1999. Dalam PRU 1999, PAS berjaya merampas Terengganu disamping mengekalkan Kelantan. Di Kerusi Parlimen, PAS berjaya memenangi 27 kerusi Parlimen, satu pencapaian luar biasa yang sangat baik. Parti gabungan PAS dalam Barisan Alternatif, DAP menang 10 kerusi dan Keadilan 5 kerusi. PAS menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia. Antara punca utamanya adalah Pemecatan Anwar Ibrahim dari UMNO pada 1998. Isu mata lebam Anwar diheret ke penjara serta kezaliman ke atas Anwar telah membuka lanskap polituk baru di Malaysia.
 
2008, walaupun gabungan parti Pakatan Rakyat yang terdiri dari PAS, PKR dan DAP, tanpa diduga menang besar dalam PRU 2008 dengan memenangi 5 buah negeri iaitu Kelantan, Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang, serta memenangi 80 kerusi Parlimen, PAS sebenarnya tidak mencapai kejayaan yang memberangsangkan berbanding kejayaannya pada 1999 (27 Kerusi). PAS hanya menang 23 Kerusi Parlimen.
 

 

PRU 2013, Pakatan Rakyat sekali lagi menang besar dalam pilihanraya iaitu menang 89 kerusi Parlimen dan menguasai Undi Majoriti Kerusi Parlimen sebanyak 52%. Bagaimanapun, PAS terus merosot pencapaiannya kepada 21 Kerusi Parlimen.
Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: