Posted by: langitbiru3 | August 6, 2013

PAS: BINTANG TGHH SEMAKIN PUDAR?

TGHH adalah anugerah besar Allah swt kepada Parti PAS. Hj Hadi muncul tatkala PAS memerlukan ikon baru penyuntik semangat perjuangan lewat 70an. Di kala inilah PAS menghadapi krisis kepimpinan yang teruk hasil helah tipudaya dan fitnah UMNO. PAS ditendang keluar macam anjing kurap dari Barisan Nasional dan Kelantan jatuh ke tangan UMNO melalui MAGERAN, satu perancangan jahat UMNO. Kehadiran HjHadi tepat pada masanya membawa angin perubahan baru dan semangat baru terutama kepada Pemuda PAS. 
 
Idea memartabatkan Ulama menerajui PAS mendapat perhatian meluas seolah-olah satu fenomena dalam lanskap politik PAS. Fenomena ini bergerak dengan tersusun dan mantap, momentumnya sudah tidak boleh disekat, Hj Hadi “Singa PAS”. Kemunculan HjHadi menyebabkan UMNO sendiri kecut perut terutama sekali melihat kesedaran kebangkitan golongan muda kepada agama. HjHadi berkelulusan Universiti Madinah dan menyambung pendidikannya ke Al-Azhar kembali ke tanahair pada tahun 1976. HjHadi masuk ABIM pada tahun 1977 dan menjadi Pengerusi ABIM Selangor. Ada yang berpendapat, jika Anwar Ibrahim pada masa itu memilih PAS sebagai wadah parti politik perjuangannya, besar kemungkinan UMNO tewas dalam pilihanraya umum. 1982, Anwar disunting oleh Mahathir juga kerana untuk menyekat pengaruh politik PAS yang kian mendapat tempat di kalangan anak muda. Secara kebetulan 2 ikon baru ini bertemu di dalam ABIM, tapi kemudiannya bertembung di medan politik, HjHadi bersama PAS, Anwar sahabat karib Ustaz Fadhil Noor bersama UMNO.
 
Maka tidak hairanlah ucapan HjHadi di Kg Paradong Terengganu tahun 1981 akan terus diingati dalam sejarah sebagai Amanat Hj Hadi. Pendekatan HjHadi dilihat “sangat tegas dan keras” oleh kawan dan lawan. UMNO mendakwa “Amanat Hj Hadi” itu MENGKAFIRKAN UMNO. Begitulah hebat HjHadi di masa pemudanya. Akhirnya, selepas 31 tahun PAS ditubuhkan teraju kepimpinan PAS berubah tangan kepada Ulama. Yusof Rawa ulama pertama memimpin PAS. PAS mengalami sejarah yang amat perit dan hampir-hampir lumpuh akibat permainan politik UMNO. Di bawah Kepimpinan Ulama, PAS beransur-ansur pulih. 1989, HjHadi dipilih sebagai Timbalan Presiden PAS. Presiden PAS adalah Ustaz Fadhil Noor. Kedudukan HjHadi sebagai Timbalan Presiden PAS telah memberi tonik baru kepada PAS. Setahun kemudian, iaitu pada tahun 1990, PAS berjaya merampas kembali Kelantan dari UMNO, dengan disokong oleh Ku Li, dari Parti Semangat 46. Inilah kali pertama “tahaluf-siyasi” PAS dengan parti serpihan UMNO, Semangat 46 membuahkan hasil lumayan.
 
Bintang HjHadi terus bersinar. PAS menunggu tidak lama, 9 tahun selepas merampas Kelantan, akhirnya pada tahun 1999 PAS berjaya merampas Terengganu dengan kemenangan besar. Kali ini, PAS “bertahalufsiyasi” pula dengan satu lagi parti serpihan UMNO, Parti Keadilan Nasional yang diterajui oleh Wan Azizah, isteri Anwar Ibrahim. Episod mata lebam Anwar dipukul Ketua Polis Negara dalam penjara secara tak langsung melonjak undi Barisan Alternatif (BA) dan memberi kemenangan kepada PAS merampas Terengganu. Singa PAS Terengganu, Hj Hadi dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu. 2002, Hj Hadi mula menerajui PAS meneruskan tradisi Kepimpinan Ulama sebagai Presiden Parti selepas kematian Ustaz Fadhil Noor. 
 
UMNO Barisan Nasional mencapai keputusan terburuk dalam sejarahnya dalam pilihanraya umum 1999. Mahathir yang digelar Maha Firaun kerana tindakannya menghantar anak didik emasnya, Anwar Ibrahim ke penjara “dipaksa berundur” demi kelangsungan UMNO. UMNO dipimpim oleh MrClean, Pak Lah. 2004, Pak Lah membuat kejutan terbesar dalam sejarah UMNOBN apabila menang besar dalam PRU2004. Terengganu dibawah arkitek barunya, Idris Jusoh, memberi pukulan “TKO” ke atas PAS. PAS Terengganu mengalami titik hitam dalam sejarahnya. 1 penggal memerintah Terengganu, PAS gagal menyakini dan memikat kehendak rakyat Terengganu. Pentadbiran Negeri di bawah Hj Hadi berjaya dimanipulasikan oleh propaganda UMNO di bawah Idris Jusoh.  Kredibiliti Hj Hadi, Presiden PAS mula dipertikaikan rakyat Terengganu.
 
2008, tanpa diduga telah berlaku “Tsunami Politik” ekoran pembebasan Anwar Ibrahim setelah merengkuk dalam penjara hampir 10 tahun. PAS berjaya merampas Kedah, tetapi tidak berjaya merampas kembali Terengganu. Satu kemusykilan, bagaimana Terengganu yang dipimpin oleh Presiden sendiri “selamat” dari Tsunami Politik yang memihak kepada Pakatan Rakyat. Di peringkat Parlimen PAS tanpa diduga menang 23 kerusi Parlimen, satu pencapaian terbaik dalam sejarah PAS selepas keluar dari Barisan Nasional. “Tsunami Politik” yang memihak kepada gabungan “baru” , Pakatan Rakyat, berlaku kerana Pakatan Rakyat kali ini lebih mantap dan tersusun serta ikatan gabungannya semakin kuat tidak sepertimana ikatan Barisan Alternatif. Inilah “tahaluf-Siyasi” ke 3 PAS membuahkan hasil.
 
Bagaimanapun, Pasca PRU2008, UMNOBN buat pertama kalinya gagal mendapat 2/3 Kerusi Parlimen, kalah di 5 buah negeri, Kelantan, Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Selangor mula “merisik khabar” pimpinan PAS. Khabarnya, pada mulanya UMNO tawar Kerajaan Perpaduan di Perak dan Selangor. Ini dikatakan punca berlaku kelewatan perlantikan Menteri Besar Perak dan Selangor. Di Perak, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria khabarnya menjadi agen perunding kepada UMNO  untuk menggabungkan PAS dan UMNO. Mufti Perak khabarnya mendakwa sudah dapat persetujuan Presiden PAS, tapi gagal mendapat persetujuan Mursyidul Am PAS, TGNA. Khabarnya juga, pujukan UMNO bukan setakat di Selangor dan Perak, tetapi juga ke Peringkat Pusat, membentuk Kerajaan Perpaduan (UG). 
 
Rentetan kepada idea UG inilah menyebabkan berlakunya Mesyuarat Tergempar Majlis Syura dan Pas Pusat yang dipanggil oleh Mursyidul Am, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat. Ia berlaku pada 31 Julai 2008. Khabarnya, dalam mesyuarat tersebut TGNA dengan tegas ada menyebut, “Kalau nak pecah 2 PAS malam ni kita pecahlah”. Sejauh mana kebenaran ini tidak dapat dipastikan.
 
Pasca AGM tersebut menyebabkan kredibiliti Presiden terus dipertikai, dan spekulasi bahawa Presiden dikaitkan dengan agenda UG mula menjadi meluas. PAS mengalami sekali lagi sejarah hitam apabila Ustaz Nasharudin Mat Isa,Timbalan Presiden PAS dan Pesuruhjaya PAS Selangor, merangkap Exco Agama Kerajaan Negeri Selangor dipecat dari parti PAS kerana dikaitkan dengan agenda UG. Kedua-dua tokoh ini sedikit sebanyak membongkarkan kronologi ke arah kerjasama PAS-UMNO (UG), sedikit sebanyak menambahkan kuah persepsi bahawa Presiden juga terlibat sama. Ini adalah “Episod Dingin” dalam PAS. Cakap-cakap kedai kopi mula menyatakan “flip-flop” Hj Hadi sebagai Pak Lah-Versi PAS, tidak lagi digeruni oleh UMNO seperti zaman Pemudanya.
 
Pada tahun 2010, Utusan Malaysia melapurkan, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, UMNO kini melalui satu perubahan yang baik apabila parti itu tidak lagi menganggap agama dan politik sebagai dua perkara berbeza. Katanya, ia juga merupakan satu proses anjakan paradigma kepada UMNO. Sesetengah bercakap seolah-olah Hj Hadi meludah ke langit dengan merujuk kepada Amanat Hadi 1981.
 
Kenyataan HjHadi itu mendapat perhatian besar semua masyarakat khususnya aktivis PAS. PAS dikatakan masih keliru dan berada di persimpangan ke mana halatujunya terutama dalam menghadapi PRU13. “Episod Dingin” dalam PAS terus berlaku seolah-olah ada“PERTEMBUNGAN IJTIHAD” antara TGHH dengan TGNA. Bagi mencerahkan keadaan kusut masai tersebut, Akhbar Harakah telah memewancara Presiden Hj Hadi isu lapuran Utusan Malaysia. Kandungan penuh wawancara yang disiarkan dalam akhbar Harakah pada bil 1514, 15-18 Februari 2010 di muka surat N10 yang bertajuk ‘Tiada percanggahan dengan MB Kelantan – Presiden PAS’.
 
 
Soalan: Dahulunya, PAS pernah kata Umno kafir. Dalam isu penyatuan ini macam mana hendak betulkan keadaannya?
 
Jawapan: ………..Apa yang berlaku ialah anjakan paradigma dalam Umno sendiri yang tidak lagi mengatakan politik suku agama suku. Dan tidak lagi menghina hukum-hukum Islam, tidak ada lagi budaya dalam Umno. Ini kejayaan yang dapat kita (PAS) laksanakan. Ini kejayaan dakwah yang kita (PAS) sampaikan bagi menyedarkan umat kita, bangsa kita dalam perkara (batas iman dan kufur) ini. Sepatutnya, kita tidak boleh bertelingkah dalam masalah ini dan PAS sendiri pernah minta diadakan muzakarah secara ilmu.
 
Dalam PAS ada Majlis Syura Ulama’ PAS dan dalam Umno ada Biro Agama Umno. Dan kerajaan sendiri mempunyai Majlis Fatwa, ada mufti-mufti dalam kerajaan, ada IKIM ada macam-macam. Jika dalam Umno ada mereka yang membawa ijazah PhD dalam bidang Islam. Dalam PAS juga ada dan dengan sebab itu perbincangan secara ilmu adalah penting.
 
Walau pun demikian, saya melihat telah berlaku anjakan paradigma dalam Umno tidak lagi mengatakan agama berpisah dari politik. Ini satu perubahan yang positif dan apa yang penting kita terjemahkan secara praktikal dan dilaksanakan dengan cara yang baik. Antaranya, sekurang-kurangnya memberi ruang kepada negeri-negeri yang dipimpin oleh PAS dan Pakatan Rakyat.Tidak ada gangguan-gangguan dari segi semangat federalisma.
 
 
Ramai melihat jawapan Presiden bukan menafikan lapuran Utusan Malaysia, tetapi sebaliknya senada seirama dengan Utusan Malaysia. Ianya tidak mencerahkan suasana muram tetapi menambah luka kepada sebahagian ahli. Cakap-cakap kedai kopi mula mengatakan Hj Hadi semakin lunak dan mesra dengan UMNO. Hj Hadi yang suatu masa dulu dianggap “Singa PAS” sudah mula berubah, tidak seperti dulu. Persepsi HjHadi adalah Pak Lah-versi PAS terus diperkatakan di kedai-kedai kopi.
 
Bagaimanapun, muktamar demi muktamar, penegasan dibuat bahawa PAS komited dengan  Tahaluf-Siyasi gagasan Pakatan Rakyat. Ramai berpendapat, Hj Hadi “terpaksa” menerima ketetapan tersebut demi menjaga hubungan dengan Mursyidul-Am, TG Nik Aziz. Anwar Ibrahim pula dikatakan lebih mesra dan senang bertemu TGNA. Keadaan ini seolah-olah mengajak dan mengimbau kisah-kisah lama di zaman pemuda Anwar dan Hj Hadi, “bertemu di ABIM, bertempur di medan politik”.   
 
PRU13, sepertimana ramai sediamaklum, PAS menyusut di Parlimen dari 23 kerusi (2008) kepada 21 kerusi walaupun digembar gemburkan PAS mampu menang sekurang-kurangnya 30 kerusi Parlimen. 
 
Jatuhnya Kerajaan PAS Kedah mengulangi sejarah Kerajaan Pas Terengganu di bawah HjHadi. Tidak kurang juga suara-suara nakal menyalahkan HjHadi yang mengekalkan Ustaz Azizan sebagai punca PAS kalah di Kedah. Dalam keadaan momentum yang kuat dan terbaik Pakatan Rakyat, kegagalan PAS merampas kembali Terengganu  dari UMNO juga bagaikan menambah gula dan garam sejauh mana kredibiliti PAS. 
 
Isu Kota Damansara dikatakan punca masyarakat umum melihat tiada persefahaman yang kukuh dan kuat dalam ikatan Pakatan Rakyat. Ada yang menyatakan HjHadi “terpaksa” menerima Tahaluf-Siyasi dengan DAP,PKR, tapi sebenarnya “tiada di hati”, salah satu penyebab Pakatan Rakyat tewas dalam PRU13. 
 
Kehadiran menantu Hj Hadi dalam Majlis Syura PAS Pusat dikatakan “mengeruhkan” lagi suasana “Episod Dingin” dalam Pas. Dalam hal ini, khabarnya pemimpin PAS dikatakan tidak mampu bersuara demi menjaga maruah Presiden. Namun, Khalid Samad mengambil pendekatan berbeza dengan “menyanggah” menantu Hj Hadi, Ustaz Zaharudin dalam isu Kota Damansara. Ustaz Zaharudin bersama Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan bangkit melawan Khalid Samad dengan menyatakan sasaran sebenar Khalid Samad adalah Presiden sendiri dengan membuat analogi Khairy-Pak Lah-Mahathir. 
 
Bagaimanakah kesudahan “Episod Dingin” ini dalam PAS?. Mampukah Presiden Parti, Hj Hadi menyelesaikan gelombang dalam cawan yang sudah melimpah keluar? Apakah bintang Hj Hadi semakin pudar? Apakah peralihan kuasa HjHadi kepada pengganti Ulama baru satu penyelesaian? 
 
Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: