Posted by: langitbiru3 | August 2, 2013

KEMUNCAK PERTEMBUNGAN ULAMA DAN PROFESIONAL DALAM PAS?

Pasca PRU13, hubungan beberapa individu yang dipanggil Ustaz (juga diiktiraf sebagai Ulama?) dengan beberapa personaliti berprofil dalam PAS tetapi bukan Ustaz atau Ulama, mungkin lebih dikenali sebagai Profesional, dilihat semakin panas dan terbuka kepada public. Jika sebelum ini hanya segelintir blogger membahaskan tetapi hari ini menjadi terbuka selepas wujudnya beberapa artikel dimuatkan dalam “The Malaysian Insider”.   Zaharudin dan Nasrudin dijadikan sasaran oleh penulis portal TMI, Amin Iskandar dan penulis Mohamad Abdullah. 
 
Kita semua sudah sediamaklum “pertembungan sengit” antara Zahirudin dan Khalid Samad dalam isu PAS bertanding di Kota Damansara. Dalam pertembungan tersebut, Zaharudin begitu keras mengkritik Khalid Samad (YDP Shah Alam dan Ketua Perunding Kerusi PAS di Selangor) dan Dr Rani selaku Pesuruh Jaya (PJ) Selangor sebagai gagal melaksanakan arahan tertinggi (AJK PAS Pusat) berkenaan kerusi DUN Kota Damansara,  iaitu membenarkan Dr Nasir dari Parti Sosialis Malaysia bertanding atas tiket PKR.
 
Selain Khalid Samad dan Dr Rani, Zaharudin juga mengheret sama Mat Sabu, Timbalan Presiden Pas yang dilabelnya sebagai pro-sosialis. Mat Sabu mengikut pandangan Zaharudin, berusaha memastikan PSM bertanding dan bekerja keras menaikkan PSM di Kota Damansara.
 
Zaharudin selanjutnya melabelkan Khalid Samad, Dr Rani, Mat Sabu dan pengikut mereka sebagai “Kumpulan Kecil” yang boleh jadi datang dari UMNO atau lain-lainnya, mencuba dan berusaha dengan licik untuk menjatuhkan kredibiliti Presiden TGHH dan Timbalan Mursyidul Am Dato’Harun Din. Zaharudin seterusnya mendakwa beliau terpaksa menjadi backup team kepada Presiden di dalam PRU13 kerana ada usaha sabotaj oleh “Kelompok Kecil” yang kesannya, PAS akan menyosot kerusinya dan hilang jati diri. 
 
Pada 27 julai 2013, bertempat di kawasan Parlimen Temerloh, Yang Berhormatnya Nasrudin Hassan, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, berlangsung Ijtimak Badar Anjuran Dewan Pemuda PAS Pahang. Khabarnya Ijtimak tersebut menjemput Zaharudin Mohamad khusus membincangkan “Isu Pimpinan Berotak Liberal dalam PAS”. Sejurus Ijtimak tersebut, khabarnya keluarlah mesej melalui wasapp dari Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang, Ustaz Shahril Azman berbunyi,  “Wujudnya ajk pusat dan ahli pas yang berfikiran  Islam Liberal yang sangat membahayakan jemaah dan seterusnya meruntuhkannya. Maka ana mencadangkan mereka yang ana senaraikan ini tidak dipilih menjadi ajk pas pusat pada pemilihan akan datang. 1.Khalid Samad, 2. Dr Dzulkifli Ahmad, 3. Hanifa Maidin, 4. Mujahid Rawa, 5. Husam Musa”. 
 
Membaca komen-komen dalam ruang siber dari penyokong Zaharudin, “Kumpulan Kecil” ini dilabelkan dengan pelbagai nama yang bermaksud sebagai PENGKHIANAT PAS. Mereka digelar Anti-Ulamak, Islam Liberal, Parasit PAS, musuh dalam selimut, api dalam sekam , duri dalam daging yang akan membawa bencana besar kepada Parti Islam SeMalaysia, PAS. 
 
BENARKAH SEMUA INI?
 
PANDANGAN PERIBADI LANGITBIRU.
 
1.     ISLAM LIBERAL
Langitbiru hanya sekadar ahli biasa PAS seumur hidup. Tiada apa-apa jawatan di peringkat Kawasan,Negeri mahupun Pusat. Langitbiru juga tiada “talian hayat” dengan mana-mana pemimpin di semua peringkat. Langitbiru seorang pengamal perubatan moden, telah mengabdikan diri ini di bidang perubatan selama hamper 18 tahun. Langitbiru seorang yang jahil agama. Pernah juga ustaz menyebut “Jahil Murakkab”. Pada fahaman Langitbiru, Jahil Murakkab itu bermaksud jahil sejahil-jahilnya, jahil yang dirinya sendiri tidak tahu dan tidak sedar yang dia seorang yang jahil. Maka kalau ada orang mengatakan Langitbiru jahil murakkabpun Langitbiru terima.   Kesedaran agama itu sendiri anugerah dan nikmat dari Allah swt yang paling hebat bagi Langitbiru, datangnya juga dari ceramah, kuliah bukan formal, usrah dan sebagainya sebagai cara mendalami ilmu agama. Di sini Langitbiru belajar, “Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat” (HR. Bukhari)
 
Adakah kerana Langitbiru langsung tiada pendidikan khusus agama, bila berbicara sepotong dua ayat Al-Quran maka Langitbiru layak dipanggil Islam Liberal? Apakah ayat-ayat Al-Quran dan Hadis itu hanya layak dibicarakan oleh mereka yang ada sijil-sijil agama?
 
Bagi Langitbiru yang jahil agama ini, tuduhan Islam Liberal kepada seseorang itu adalah satu tuduhan yang dashyat. Bolehjadi ianya bermaksud akidah nya juga terpesong dan sesat. Ilmu Langitbiru tidak tinggi mana dan jahil, tidak berani nak menghukum sesiApa sebagai Islam Liberal. Bagaimanapun, membaca artikel Nasrudin Hassan, Ketua Pemuda PAS Pusat, yang mengambil analogi menggambarkan kehebatan anak-menantu dalam PAS, Zahirudin-HjHadi dibandingkan dengan Saidina Ali- Rasulullah saw, sejahil-jahil Langitbiru, itu sesuatu yang langsung Langitbiru tak boleh terima, hatta sebesar zarah sekalipun Langitbiru tak boleh terima. Tak apa lah, itu hak mereka yang bergelar ustaz dan ulama. 
 
Pun begitu, Dr Yusof Al-Qaradawi mengingatkan Jemaah Islam, tokok tambah kepada nama Islam itu, seperti Islam Fundamentalist, Islam Liberal, Islam Moderate dan apa jua tambahan kepada nama Islam itu sebenarnya ciptaan musuh Islam, Yahudi untuk memecahbelahkan Umat Islam. Adakah kita sudah tercucuk jarum halus Yahudi? 
 
2.      ISU KOTA DAMANSARA
 
Rasa terpanggil juga untuk member pandangan peribadi soal Isu Kota Damansara. Langitbiru langsung tidak nampak, Sdr Khalid Samad, Dr Rani, Mohamad Sabu yang digelar “Kumpulan Kecil” oleh Zaharudin, berniat jahat dan berusaha untuk sabotaj PRU13, serta menjatuhkan kredibiliti TGHH sebagai Presiden Parti. 
 
Seperkara Langitbiru mahu perkatakan, pertimbangan, strategi dan percaturan politik selagi tetap berada pada landasan Syariat, kekuatan,pengalaman dan kebijaksanaan akal menjadi penentu kepada segala keputusan politik. Saya yakin dan percaya, golongan professional dan bukan ulama sekali-kali tidak mepertikaikan ilmu agama para ulama dalam apa jua hal agama, tetapi dalam strategi politik ianya mungkin berbeza.  Seharusnya sejarah Peperangan Badar menjadi iktibar kepada kita Jemaah Islam. 
 
Ketika kaum Muslimin berhenti di suatu tempat di lembah Badar, sahabat Rasulullah saw, Khubab ibnul Munzir berkata kepada Rasulullah saw: “Ya Rasulullah, adakah tempat yang kami berada ini suatu tempat yang ditunjukkan oleh Allah yang kami tidak dapat melanggarnya sedikit pun ataukah hanya tempat yang engkau pilih mengikut pendapatmu sendiri dan taktikmu?
 
 Jawab Nabi saw: “Tempat ini ku pilih menurut fikiranku”

Jawab Khubab: “Tempat ini tidak strategik untuk berperang”. Kemudian dia menunjukkan tempat yang lebih strategik. Anjuran Khubab itu disambut oleh Rasulullah dengan gembira sekali dan segera baginda bangkit menuju ketempat yang ditunjukkan oleh Khubab yang mana merupakan tempat yang lebih dekat dari sumber air dari kaum Quraisy. 

 
Jelas, Rasulullah saw meraikan pendapat dan cadangan para sahabat dalam strategi perang.
Strategi politik juga boleh dianalogikan dengan strategi perang yang memerlukan kekuatan dan kebijaksanaan. 
 
Dalam Isu Kota Damansara, perkara fokus Zaharudin adalah isu calun Fahaman Sosialis PKR, yang sebenarnya ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM). Bagi Zaharudin, PSM tidak diterima sebagai anggota gabungan Pakatan Rakyat, dan wajar PAS bertanding di Kota Damansara. Zaharudin membahaskan kemungkinan sejarah DUN Perak berulang dengan mengambil calun PSM. Seluruh Malaysia juga sediamaklum ucapan HjHadi beberapa hari selepas penamaan calun menjelaskan isu PSM dan juga pil kuda serta pengalaman Perak. Ucapan HjHadi itu dilihat selari dengan alasan Zahirudin. 
 
Perkara fokus Khalid Samad pula adalah kerusi tersebut Hak dan Milik PKR, Parti Gabungan dalam Pakatan Rakyat berdasarkan persefahaman kerjasama “Tahaluf Siyasi” antara PAS dan DAP,PKR. Adalah menjadi hak PKR untuk meletakkan sesiapa sahaja calun yang mereka fikirkan sesuai. PAS tiada hak untuk mencampuri urusan pemilihan calun PKR. Tahaluf Siyasi itu difaham secara umum oleh kebanyakan orang adalah satu pakatan, ikatan dan perjanjian antara parti PAS dan DAP,PKR. PAS bertanding di kerusi Kota Damansara dilihat sebagai tidak menepati janji, mungkir janji dan telah melanggar hak rakan sekutu PKR. Dilihat dalam skop yang lebih besar, perkara tersebut mampu menggoncang kerjasama pakatan serta keyakinan ahli parti kedua-dua pihak yang boleh menguntungkan parti lawan iaitu UMNO. 
 
Pandangan Langitbiru, adalah bertentangan dengan semangat “Tahaluf Siyasi” PAS bertanding di Kota Damansara.  Jika PAS tidak bersetuju dengan calun PKR tersebut, PAS perlu mengemukakan bantahan rasmi melalui saluran parti, bukannya dengan meletakkan calun PAS bertanding sebagai tanda protes. Meletakkan calun PAS bertanding telah mengguris hati rakan sekutu, menimbulkan syak wasangka dan curiga di kalangan ahli Parti PKR. Bahkan kesannya boleh merebak ke kawasan pilihanraya yang lain. 
 
3.      KRITIKAN DIANGGAP SEBAGAI ANTI-KEPIMPINAN ULAMA?
 
Saya nampak, kritikan dan teguran Khalid Samad tidak wajar dilihat sebagai anti-ulamak hingga sanggup untuk sabotaj dan menjatuhkan TGHH. Sejahat itukah Khalid Samad? Dr Rani? Mat Sabu? Apakah kerana teguran kepada kepimpinan terus dihentam sebagai “kumpulan budak jahat” yang mahu menghancurkan Parti? Apakah kita lupa jasa jasa mereka berjuang dalam parti. Jangan disebabkan hanya 1 perselisihan pendapat, kita lupa 1000 kebaikan orang lain. Bukankah Islam mengajar kita begitu?
 
Apakah benar wujud gagasan menghapuskan Kepimpinan Ulama dalam PAS? PAS sebuah parti politik yang sangat berpengalaman. Sayugia kita semua perlu ingat, PAS sendiri awalnya bukan dipimpin oleh Ulamak. Kepimpinan Ulama muncul pada tahun 1981, iaitu 31 tahun selepas PAS ditubuhkan. Dan hari ini, sudah 31 tahun juga PAS berada dibawah Kepimpinan Ulama. 
 
3        Badan Tertinggi dalam PAS.
1.         Dewan Ulama.
Dari Ketua hinggakan kesemua jawatankuasanya adalah terdiri dari Ulama.
2.         Majlis Syura.
Majlis Syura secara umum dianggap sebagai Badan Tertinggi selepas Muktamar Agong, yang menentu dan mempastikah halatuju parti sentiasa berada di atas landasan Syariat. Mursyidul-Am, timbalannya dan hamper keseluruhannya adalah terdiri daripada Ulama.
3.         AJK PAS Pusat.
AJK Pas pusat dilihat sebagai Badan Pelaksana kepada segala ketetapan Majlis Syura dan Dewan Ulama. Badan Pelaksana, sama seperti sebuah pasukan Bala Tentera Perang. Panglima Perang mesti seorang yang benar-benar berkebolehan. AJK Pas Pusat inilah bergabung segala cerdik pandai dalam PAS, samada ulama, akedemik, professional bukan professional, kontraktor dan apa jua latar belakang ahli semuanya ada. Badan inilah yang menentukan pertimbangan,percaturan, dan strategi politik. 
 
Berdasarkan hierarki di atas, adalah jelas Kepimpinan Ulama adalah terjamin. Saya berasa sangat janggal dan sedih bilamana ahli-ahli PAS bukan dari kalangan Ustaz yang membuat teguran dan kritikan kepada Kepimpinan Parti dicop sebagai anti-ulamak, parasit dan musuh dalam selimut. Apakah Kepimpinan Ulama itu sendiri maksum dan tidak boleh ditegur? Jika tidak boleh ditegur, bermakna, PAS sendiri membawa dan mempraktikkan budaya Melayu UMNO dalam parti, tiada ruang untuk bersuara, menegur kepimpinan Parti. Sedangkan Rasulullah saw sendiri meraikan pendapat dan cadangan Para Sahabat seperti dalam Peristiwa Peperangan Badar.
 
 
4.      ZAHARUDIN MAHU HAPUSKAN SEMUA PROFESIONAL/ISLAM LIBERAL?
 
Namakan semua siapa penganut Islam Liberal dalam PAS, tak usah berselindung di sebalik kenyataan umum. Namakan mereka satu persatu.  Semua sediamaklum, golongan berprofil dalam PAS seperti Khalid Samad, Dr Rani, dan sebagainya adalah golongan professional. Oleh kerana Zaharudin seorang Ahli Majlis Syura yang diwarwarkan mempunyai pendidikan sangat tinggi ilmunya, bentanglah dan berhujahlah di Majlis Syura agar kesemua mereka ini dipecat dari PAS. Jika itu boleh menyelamatkan bahtera PAS dari karam!
Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: